BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, 19 March 2012

artikel yang bertajuk Bersedia untuk berhemah

ISU mengenai kenaikan harga minyak terus menjadi bualan rakyat negara ini. Malah sudah ada rakyat yang mengubah cara hidup mereka. Walaupun kerajaan telah membuat keputusan untuk tidak menaikkan harga minyak sehingga akhir tahun ini, namun ia menimbulkan persoalan sejauh manakah kerajaan mampu bertahan.
Turut menjadi persoalan, apa akan berlaku seandainya harga minyak dunia mencecah AS$200 setong menjelang akhir tahun ini seperti mana diramalkan? Untuk mendapatkan jawapannya, wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan ROZILAN SALLEH menemui Timbalan Dekan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof.Madya Dr. Abd. Samad Nawi.

Dalam pertemuan itu, beliau menghuraikan mengenai kesan jika harga minyak terus meningkat dan pandangannya berhubung pemberian subsidi oleh kerajaan dalam usaha memastikan rakyat negara ini terus menikmati harga minyak yang agak rendah.

Dr.Abd.Samad juga memberikan pendapat berhubung persediaan yang harus dilakukan oleh kerajaan dan rakyat negara ini bagi menghadapi kemungkinan harga minyak mencecah AS$200 setong.

Bagi Dr.Abd.Samad dalam senario pergolakan yang berterusan di Timur Tengah kenaikan sebanyak itu bukanlah satu ramalan semata-mata sebaliknya ia boleh menjadi kenyataan.

Justeru kata beliau, kerajaan dan rakyat harus bersedia melakukan pelbagai tindakan bagi memastikan kedua-dua pihak tidak tertekan jika harga minyak terpaksa dinaikkan.

MINGGUAN: Pelbagai andaian dibuat berhubung kenaikan harga minyak, apa pandangan Dr. dalam perkara ini?

DR. ABD. SAMAD: Harga minyak naik mulai September 2003 iaitu kepada AS$25 setong, selepas itu ia meningkat lagi pada Ogos 2005 kepada AS$60 setong dan seterusnya pada Julai 2006 menjadi AS$78 setong, manakala yang terbaru bulan ini iaitu AS$140 setong. Ia diramalkan mencecah kepada AS$200 setong pada penghujung tahun ini.

Pelbagai andaian dibuat berhubung kenaikan harga minyak ini tetapi bagi ahli ekonomi, kami berpendapat ia berpunca daripada pergolakan yang berlaku di Timur Tengah. Ini memandangkan rantau tersebut menghasilkan dua pertiga daripada jumlah pengeluaran minyak dunia.

Paling nyata pergolakan di Iraq yang merupakan pengeluar minyak kedua terbanyak di dunia selepas Arab Saudi. Jika pergolakan di rantau berkenaan tidak dikawal, memang harga minyak akan naik. Justeru pergolakan di Timur Tengah adalah faktor besar yang menyumbang kepada kenaikan harga bahan bakar itu.

Selain situasi di Iraq, isu nuklear di Iran turut menjadi faktor kenaikan berkenaan, biarpun ia hakikatnya satu propaganda Amerika Syarikat (AS) bagi mengelakkan Iran mempunyai kuasa nuklear. Turut menyumbang kepada kenaikan berkenaan ialah ketidakstabilan politik yang berlaku di Arab Saudi. Ketiga-tiga situasi ini telah menyebabkan berlaku penurunan kepada pengeluaran minyak dunia.

Turut menyumbang kepada penurunan bekalan minyak ialah situasi di luar wilayah Timur Tengah. Antaranya isu tunjuk perasaan yang tercetus di negara-negara pengeluar minyak seperti di Venezuela, Nigeria dan Indonesia kerana masalah politik. Malah tunjuk perasaan di Malaysia juga turut memberi sumbangan.

Ini kerana Malaysia mengeluarkan 600,000 tong minyak sehari dan daripada jumlah itu kita hanya menggunakan 400,000 tong manakala 200,000 tong lagi dieksport. Minyak yang dikeluarkan oleh Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia kerana dikatakan kurang sulfur. Tetapi minyak berkenaan dieksport dan kita mengimport minyak dari luar yang banyak sulfur, atas sebab itulah kita ada loji penapis. Minyak yang dimport oleh Malaysia adalah lebih murah.

Dalam soal kenaikan ini, bagaimana dengan cadangan supaya kita mempunyai stok penimbal bagi mengawal harga dan kontrak pasaran hadapan bagi minyak dihapuskan?

DR. ABD. SAMAD: Negara-negara besar seperti AS, China dan Jepun sememangnya mempunyai stok penimbal. Malaysia sememangnya tidak mempunyai polisi untuk menyimpan minyak kerana tidak memiliki kemampuan dari segi menyediakan tangki dan tong memandangkan ia melibatkan kos yang besar. Apa yang Malaysia ada setakat ini ialah loji penapis minyak seperti mana di Port Dickson.

Dalam soal pasaran hadapan, minyak sememangnya dibeli di pasaran itu. Sebab itu MAS dan AirAsia mampu bertahan. Ini kerana mereka membeli dengan banyak mungkin beberapa tahun sebelum harga minyak naik. Tetapi perlu diingat harga minyak juga boleh naik akibat daripada pasaran hadapan memandangkan mereka yang terlibat mungkin akan membeli dengan jumlah yang banyak apabila melihat kemungkinan harga minyak akan naik pada masa hadapan. Bagaimanapun saya percaya masyarakat dunia tidak akan bersetuju untuk menghapuskan pasaran hadapan ini kerana ia tidak akan memberi keuntungan kepada mereka.

Selama mana Malaysia mampu bertahan memberi subsidi bagi memastikan rakyat terus mendapat harga minyak yang agak rendah?

DR.ABD.SAMAD: Ahli-ahli ekonomi melihat pemberian subsidi hakikatnya hanya memberikan kerugian kepada negara tetapi kepada ahli politik terus terang saya katakan ia bertujuan bagi meraih undi.

Saya sendiri tidak bersetuju dengan pemberian subsidi ini kerana ia mempunyai kesan yang tidak baik. Tetapi bagi orang politik ia penting kerana lagi banyak subsidi diberi, lagi banyak undi diperoleh. Ertinya ia hanyalah satu langkah untuk popular.

Bukan sahaja dalam soal minyak, Malaysia juga memberi subsidi kepada kereta contohnya kereta keluaran Proton yang dieksport. Tujuannya bagi membolehkan kereta berkenaan dijual dengan harga yang murah selepas menerima subsidi kerajaan bagi bersaing dengan jenama lain.

Itulah tujuan subsidi iaitu menurunkan harga tetapi dari segi ekonomi ia hanya mendatangkan kerugian.

Dalam isu minyak, peruntukan subsidi bagi bahan itu seharusnya boleh digunakan bagi membantu sektor-sektor lain yang dilihat ‘miskin’, ia termasuklah meningkatkan kemudahan pengangkutan awam serta mewujudkan pembangunan di negeri-negeri yang dianggap miskin seperti di Sabah.

Mungkin dari satu segi kita boleh memberikan subsidi bagi mengekalkan harga minyak di paras yang rendah tetapi persoalannya siapa yang untung? Sama ada hendak diakui atau tidak, pemberian subsidi ini hanya menguntungkan mereka yang terlibat dalam sektor industri sedangkan ia tidak mendatangkan banyak manfaat kepada golongan miskin.

Namun buat masa ini, kerajaan tidak ada pilihan, kerajaan terpaksa memotong subsidi kerana bebanan kewangan kerajaan akan bertambah teruk apabila harga minyak mencecah AS$200 setong.

Adakah keputusan memberi subsidi untuk popular atau tujuan lain?

DR. ABD. SAMAD: Kerajaan kata harga minyak tidak akan dinaikkan sehingga hujung tahun ini. Dari segi ekonomi, jika kerajaan tidak naikkannya, bayangkan kalau harga minyak naik AS$200 berbanding sekarang kira-kira AS$140, ini bermakna berbeza AS$60. Bayangkan berapa banyak subsidi Petronas harus keluarkan untuk menampung kenaikan ini. Mampukah Petronas berbuat demikian?

Pada saya ‘mengarut’ kalau kerajaan tidak naikkan harga minyak kalau harga di pasaran sudah mencecah AS$200.

Petronas akan menjadi lebih sukar untuk melabur semula keuntungannya. Memandangkan simpanan minyak makin berkurangan, Petronas terpaksa mencari wang selepas itu bagi melakukan pelaburan semula untuk mencari gali minyak di kawasan lain terutama laut dalam yang kedalamannya beratus meter, ini melibatkan kos sehingga ia boleh mencecah 200 peratus.

Tidak dapat dinafikan, Petronas mendapat untung jika harga minyak terus meningkat tetapi kalau kerajaan bertahan dengan tidak menaikkan harga minyak, berapa banyak subsidi terpaksa ditanggung? Petronas mungkin mampu bertahan tetapi ini akan mengurangkan pelaburan untuk mencari gali minyak di laut dalam.

Untuk jangka pendek kita untung, popular tetapi jangka panjang, kita akan lihat pendapatan Petronas menguncup sebab pelaburan semula semakin berkurangan.

Bagi jangka panjang hasil minyak menyumbang 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selebihnya kira-kira 62 peratus daripada sektor-sektor lain. Kalau pendapatan Petronas berkurangan, sumbangan KDNK katakan menurun kepada 30 peratus, ertinya kita hilang lapan peratus, dari sektor mana pula kita mahu ganti sumbangan lapan peratus itu?

Untuk berharap kepada sektor perindustrian ia memang sukar terutama ketika ekonomi berada dalam keadaan lembap.

Kebanyakan barang-barang perindustrian kita eksport ke luar negara, apabila berlaku kenaikan harga minyak, ia juga akan menyebabkan kenaikan harga barang-barang lain terutama perkhidmatan.

Barangan kita sudah tentu semakin mahal, adakah masih ada orang mahu membeli barang kita? Mungkin boleh beli tetapi dalam kuantiti yang kurang, bila ini berlaku, pengeluaran industri akan berkurangan menyebabkan sektor pekerjaan terpaksa dikurangkan, ini dipanggil penguncupan ekonomi, untuk jangka panjang akan berlaku kelembapan ekonomi.

Saya ingin memetik kata-kata Ibnu Khaldoum, “tahap harga yang stabil patut diamalkan sesebuah negara, itu pilihan terbaik sesebuah negara harus mempertahankan harga stabil, jika inflasi naik, ini akan merosakkan keadilan, yang untung siapa? yang miskin bertambah miskin, pendapatan golongan pertengahan akan turun disebabkan kos hidup semakin tinggi, yang miskin akan menjadi semakin miskin, itu maksud tidak ada keadilan.”

Jadi yang terbaik sekali kawal inflasi. Sekarang ini ia berada pada kedudukan 3 hingga 4.2 peratus tetapi ahli ekonomi menjangkakan ia akan meningkat kepada 5 atau 6 peratus, itu keadaan tidak stabil.

Adakah ini bermakna dengan kata lain rakyat mahu tidak mahu terpaksa berdepan juga situasi itu?

DR. ABD. SAMAD: Kita sebagai rakyat sudah tentu terpaksa menghadapi keadaan yang masih lagi dianggap tidak meruncing tetapi berada dalam satu tahap yang susah terutama bagi orang makan gaji.

Bila berlaku kenaikan harga barang, apa akan jadi kepada orang berpendapatan tetap, gaji mereka tetap katakan RM1,000 sebulan, tetapi kini terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan sesuatu barang berbanding sebelum itu.

Selain itu dengan pendapatan RM1,000, kita juga harus membayar cukai, itu bukan pendapatan benar, ia dipanggil pendapatan kasar.

Pendapatan benar patut dipegang rakyat tetapi kenaikan harga barang, pendapatan benar akan mengecil, ini memberi kesan besar.

Apa akan jadi kalau harga minyak dunia terus naik kepada AS$200?

DR. ABD. SAMAD: Kerajaan sudah janji harga minyak tidak naik sehingga hujung tahun ini. Oleh itu rakyat tidak ada masalah walaupun harga minyak dunia naik, sebab kerajaan beri subsidi yang banyak tetapi yang menanggung kesan ialah Petronas dan kerajaan. Ini bermakna banyak peruntukan lain seperti pembangunan terpaksa dikurangkan.

Tetapi bagaimana kalau tiba-tiba kerajaan tarik balik kenyataan itu, harga minyak dinaikkan mengikut pasaran? Pada saya ketika itu, golongan pekerja yang tidak mempunyai pendapatan minima terutama sektor swasta akan merasai keperitan.

Contohnya, pemandu bas. Berapa pendapatan pokok mereka, bolehkah mereka hidup dengan kenaikan harga barang yang semakin tinggi? Mampu atau tidak mereka hidup dengan RM300 sebulan, dengan lima orang anak, mereka terpaksa mengejar trip, kemudian timbul macam-macam masalah seperti kemalangan.

Bagaimana pula 1.2 juta kakitangan awam dengan kira-kira 70 peratus berada dalam kumpulan sokongan. Walaupun ada pendapatan minima tetapi berapa gaji mereka? Pendapatan RM1,000 sebulan di bandar besar dengan lima anak dengan RM1,000 sebulan di Machang, Kelantan begitu jauh berbeza, boleh hidup ke tidak di bandar besar? Hakikatnya banyak implikasi akan berlaku jika harga minyak dinaikkan lagi.

Kalau kerajaan terpaksa ikut harga pasaran, ertinya harga minyak dinaikkan lagi, apakah langkah yang harus diambil bagi mengurangkan beban rakyat?

DR. ABD. SAMAD: Pertama, cara terbaik ialah terpaksa menghapuskan beberapa cukai terutama cukai pendapatan. Langkah ini harus dilakukan bagi membantu rakyat menampung kenaikan kos hidup terutama di bandar-bandar besar.

Kedua, kalau boleh, kaji semula kadar tol sebab saya lihat berlaku kenaikan kos akibat peningkatan harga minyak ini ialah di Lembah Klang dan bandar-bandar besar tetapi di Lembah Klang terlalu banyak tol. Sistem jalan raya di negara maju seperti Britain dan AS begitu baik tetapi tidak ada tol.

Norway pula merupakan negara Eropah yang paling banyak tol dalam bandar. Mereka terpaksa berbuat demikian bagi menampung kos memandangkan terpaksa ‘tebuk’ bukit-bukit untuk membina lebuh raya.

Di Malaysia terutama Lembah Klang ini banyak tol. Kerajaan kena kaji semula konsesi tol.

Langkah itu bertujuan untuk mengurangkan beban rakyat di bandar. Jika tidak mahu dikurangkan mungkin kerajaan boleh memikirkan tindakan mengisytiharkan hari-hari tertentu sebagai ‘hari bebas tol’.

Langkah ketiga ialah memperbaiki mutu pengangkutan awam. Kita mahu kurangkan kereta di jalan raya dan menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Hakikatnya, ia boleh dilakukan tetapi dengan syarat sistem pengangkutan awam di seluruh negara harus diperbaiki.

Sebagai contoh, di Puchong, Subang dan Shah Alam mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi tetapi belum ada lagi LRT. Selagi sistem jaringan ini tidak diperbaiki, selagi itulah pengguna tidak mahu menggunakan pengangkutan awam.

Keadaan itu akan menyebabkan mereka menanggung kos yang besar untuk pergi ke mana-mana termasuk bekerja.

Usaha keempat yang harus dilakukan oleh kerajaan, ialah melaksanakan sistem pendidikan secara percuma seperti mana dilaksanakan di Britain. Di negara itu dari tahun satu hingga sekolah menengah, tiada bayaran dikenakan di sekolah bahkan pensil dan buku diberi percuma. Saya tinggal di sana empat tahun tidak pernah keluarkan wang kepada sekolah, tetapi mampukah kita laksanakannya di sini, kalau mampu Alhamdulillah, itu cara kita membantu rakyat.

Kelima ialah perlu ada gaji minima, ini sensitif tetapi sebagai ahli akademik saya terpaksa suarakan, gaji minima perlu dilaksanakan serta-merta berikutan kenaikan kos hidup ketika ini. Bayangkan kakitangan sokongan seperti kerani yang berpendapatan RM800 sebulan termasuk elaun, macam mana hendak hidup di Lembah Klang. Akhirnya mereka terpaksa melakukan kerja sambilan seperti memandu teksi tetapi ini menjejaskan produktiviti kerja mereka di pejabat.

Keenam, kerajaan boleh membantu dengan mencari alternatif penggunaan petrol seperti gas tetapi masalahnya tidak semua tempat ada saluran gas. Di Pantai Timur tidak ada kemudahan itu. Bagaimanapun usaha harus dilakukan bagi membolehkan rakyat menggunakan gas atau biodiesel. Ini sedikit sebanyak boleh menambahkan penyelidikan dan pembangunan di institusi pengajian tinggi.

Selain itu, cara hidup rakyat sendiri kena ubah, berhemah setiap masa, jangan terlalu boros, kurangkan tengok wayang, konsert hiburan dan perkara- perkara lain yang dianggap membazirkan wang.

Apa pula tindakan-tindakan segera yang boleh diambil?

DR. ABD. SAMAD: Kurangkan penggunaan petrol. Setiap orang kalau boleh minimakan pergerakan kenderaan. Ini sedikit sebanyak menjimatkan petrol dan perbelanjaan. Kita kena betul-betul tegas, kalau hendak guna juga, kena berhemah. Contohnya, kalau kita mahu ke kedai yang terletak berhampiran rumah kita, jalan kaki sahaja, jangan menaiki kenderaan.

Saya juga nampak trend menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) adalah satu pembaziran dan harus dihapuskan. Apa gunanya kita membantu syarikat-syarikat telekomunikasi ini sebab lagi banyak kita hantar SMS, lagi untung syarikat-syarikat itu.

Pada pandangan saya trend menghantar SMS itu tidak baik, merosakkan jiwa perbelanjaan rakyat.

Sekarang terlalu banyak ruang menggalakkan orang hantar SMS, ini sudah tentulah memberi peluang kepada syarikat komunikasi mengaut keuntungan yang banyak. Kalau boleh nasihatkan rakyat jangan terlalu banyak hantar SMS kerana apa yang kita lihat ia lebih bertujuan kepada hiburan terutama di kalangan generasi muda.

Saya juga melihat kita perlu mengekalkan kuasa beli. Sebagai pengguna, kita perlu menjadi raja, kalau tidak mahu beli, jangan beli, jika hendak ke pasar raya buat senarai barang yang hendak dibeli kalau tidak termasuk dalam senarai jangan beli. Kita ada kuasa menentukannya.

Selain itu, kita harus memilih pasar raya yang menawarkan harga lebih murah. Jangan pilih kedai yang terkenal tetapi menjual barang dengan harga mahal. Kenapa harus memilih kedai yang jual mahal, sepatutnya kita berbelanja tanpa tengok nama kedai. Kena bandingkan harga, jangan terus beli.

Itulah beberapa langkah yang harus dilakukan oleh rakyat bagi menghadapi keadaan peningkatan kos hidup berikutan kenaikan harga minyak.

yang benar
aini

No comments:

Post a Comment